Saturday, 7 January 2012

.: air oh air :.

Melihat lori tangki air membawa pulang tangki kosong dari tingkap bilik saya yang ternganga luas ini, rasa terharu & sayu bercampur-campur. Semalaman lori itu diletakkan di dataran blok kediaman wanita untuk berkhidmat kepada penghuni yang sudah kerimasan dengan baju kotor penuh sebakul dan air minum yang sentiasa perlu dibeli di Kmart. Maka semalaman jugalah berbaris-baris pelajar wanita di belakang ekzos lori itu dengan pelbagai warna dan saiz baldi, tak kurang botol minuman dan palbagai perkakas lain, dengan satu fungsi, selagi boleh dibuat menakung air.

Dalam meladeni perasaan kita yang marah-marah, duka dan kecewa dengan pengurusan, entah lah mahu di letakkan ke bahu siapa masalah ketiadaan air yang berlarutan hampir cukup seminggu esok, saya merasakan dalam keadaan begini lah, pelbagai telatah & sikap manusia mulai terkeluar dari batasan manusia normal. Kesabaran sudah terasa terinjak-injak di tapak kaki, kemarahan sering pula menguasai emosi malahan caci maki sering aja kedengaran setiap masa. Belum lagi dikira status-status di FB, skype & twitter yang rata-ratanya berkongsi tajuk yang sama; AIR TIADA sambil diselangi dengan tanda seruan yang bannnnnyak, kononnya menunjukkan betapa sakit hati si tuan punya akaun ketika status itu ditulis.

Yang biasa kelihatan perawan manis & lembut, mulai bertukar menjadi super woman gagah mengangkut baldi air setinggi 6 aras blok kediaman kami. Yang biasa kelihatan pendiam juga sudah mula mengeluarkan pelbagai rungutan dan keluhan. Yang biasa kelihatan rendah diri semakin mementingkan diri, berebut mendapatkan air setiap kali lori tangki air singgah di dataran kolej tanpa bertolak ansur, memikirkan kepentingan warga yang lain.  Apatah lagi, musim panas yang melanda Lembah Klang akhir-akhir ini menambahkan kegawatan.

Bukan masalah pengurusan yang saya ingin jadikan isu di sini. Sekadar berkongsi idea tentang sikap manusia. Hairan, bukan? Dalam tempoh belum pun sampai seminggu lagi, banyak perangai sebenar teman-teman sekolej mudah sahaja dilihat telahpun melalui revolusi, bahkan kadangkala sehingga kita pun tak percaya, dialah yang kita kenal sebelum masalah air berlaku, seolah-olah orang lain yang wujud dalam dirinya tika ini.

Apalah salahnya, kita enjoy sikit, tenangkan hati sikit, ambil peluang menimba pengalaman susah sikit, bergembira sikit bersama kawan-kawan yang lain. Mungkin anda tak terfikir, inilah bahan yang anda boleh buat modal untuk bercerita dengan pak mentua bila balik kampung cuti semester nanti, inilah topik utama sewaktu lepak-lepak dengan makcik sebelah rumah yang jual aiskrim malaysia, inilah pengalaman yang anda boleh kongsi dengan anak-anak anda nanti. 

“dulu, ibu lagi susah. Kena angkut baldi dari paras satu sampai paras enam, semata-mata nak basuh sudu sebatang,” itulah jawapan anda bila anak anda pula merungut tandas di sekolahnya tercabut kepala paip.

“pak, masa exam sebelum balik sini hari tu, kolej chek takdak ayaq. Jenuh la hai chek pi berjalan blok sana sini cari ayaq sampai tak tidoq malam,” komen anda pada pak mentua (kalau lah pak mentua kita tu menteri bekalan air sumber dan tenaga, mungkin komen anda mendapat respon & tindakan).

Anda mungkin tergelak-gelak sendiri satu hari dalam tempoh 5 tahun akan datang bila teringat kembali betapa sukarnya anda untuk menahan lapar dan dahaga, bukan sahaja kerana tiada air untuk membasuh pinggan mangkuk cawan sudu, tapi juga kalau ‘makan terlebih’ atau ‘minum terlebih’ daripada hari biasa, akan menuntut anda ke tandas terlebih juga sehingga air sebaldi yang ditadah tu tak cukup untuk dibuat mandi.

Apa pun, kesabaran manusia memang ada batasnya, cuma kalau masih belum sampai batasnya itu, janganlah disampai-sampaikan juga, sampai hilang pertimbangan diri & lupa pekerti yang diajar ayah emak kita. Salam daripada insan kerdil :)


No comments:

Post a Comment