Masih ingat lagi entry saya berkenaan masalah air di kolej indah ini? Entry yang INI.
Petang tadi hujan turun membasahi bumi Bangi untuk kali kedua, setelah sekian lama musim kering dan panas melanda. Tidak lebat, tapi cukup memberi harapan kepada penghuni kolej supaya masalah air dapat diselesaikan dengan segera. Apatah lagi, semalam Harian Metro ada mengeluarkan kenyataan yang dipetik daripada pegawai atasan SYABAS bahawa bekalan air sedia ada dalam Empangan Sungai Langat & Empangan Semenyih tak lagi mampu menjalankan tugasnya seperti biasa sekiranya musim panas kering terus melanda Barat Semenanjung Malaysia. Kegawatan ini ditambah lagi dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang pastinya menyaksikan peningkatan permintaan bekalan air.
Sejuknya hujan terasa memberi kesan ke dalam hati, bila teringat alpanya saya kepada Dia yang Maha Pencipta. Bagaimana tidak, waktu panas terik, dengan bekalan air tiada sehingga tekak pun kering dan bibir menggelupas, waktu itu baru terasa lemahnya diri, kecilnya kita sebagai hamba. Apa yang boleh kita lakukan kalau kemarau terus-terusan berlaku?
Syahdu makin terasa apabila beberapa kali saya dan Kak Aishah terpaksa solat di surau kolej. Bukanlah terpaksa sebenarnya, tapi ia bermula dengan terpaksa juga pada awalnya kerana blok kami yang kehabisan air menyukarkan kami untuk mengambil wudhu’. Dan untuk kesekian kalinya waktu Maghrib tadi kami bersolat di surau itu, kali ini bersama Kak Dyah kerana hujan lebat tidak mengizinkan kami pulang ke bilik selepas pulang dari DTAMS menjawab kertas Falsafah.
Agaknya kalau tak kerana hujan lebat & masalah air tu, mahu atau tidak kami bersolat di situ? Menusuk ke kalbu bacaan imam solat, dan lebih terasa lagi saat habis berjemaah, kami bersalaman dan berlaga pipi untuk pertama kalinya sepanjang tempoh perkenalan kami bertiga, SAYA, KAK AISHAH & KAK DYAH lebih setahun ini. Terasa kami memang benar-benar seperti saudara.
Hujan ini betul-betul membawa pelbagai hikmah. Oh, ketiadaan air ini pun. Musim kemarau ini juga. Semuanya ada hikmah.
Hujan itu petanda Dia masih belas & kasih kepada kita, yang selama ini tak pernah berasa puas & bersyukur dengan nikmat yang diberi, malah minta yang lebih daripada itu pula.
Tiba-tiba saya terfikir, mungkinkah ada orang yang solat hajat minta hujan turun? Mulianya hati beliau, semoga rahmat Allah sentiasa bersamanya.
nota kaki : Alhamdulillah, blok 12 sudah ada air mulai pagi tadi, buat pertama kalinya tanpa putus bekalan lagi. tiada lagi debaran setiap kali bangun subuh. moga tekanan dan paras air sentiasa meningkat, atau paling tidak konstan. :)
No comments:
Post a Comment